Propaganda – Jangan Jatuh Dalam Perangkapnya!

Oleh Eyes Wide Open

Politik negara kita ni asyik porak peranda aje kebelakangan ini. Tiap kali buka suratkhabar, macam-macam yang ditulis. Tak henti-henti tuduhan yang dilemparkan oleh ahli-ahli politik kita. Rakyat pun celaru – yang mana benar, yang mana sekadar propaganda saja? Kalau betul, tak apa. Kalau sekadar propaganda saja, mampuslah kita semua – entah-entah ramai yang terpedaya dan betindak melulu kerana tak tahu apa yang benar-benar sedang berlaku.

Jadi amatlah penting untuk kita tapis apa yang kita baca dan dengar. Janganlah terbawa-bawa dengan kata-kata yang merupakan hanya propaganda politik saja. Kita mesti celik propaganda supaya kita tidak tertipu dan diperalatkan ahli-ahli politik. Ini penting untuk kesejahteraan negara, sebab kalau kita bertenang, kita boleh menangani apa jua situasi politik yang timbul dengan tindakan yang betul.

Mari kita tengok bagaimana propaganda mempermainkan fikiran kita supaya ahli politik boleh mengekploitasikan sokongan kita.

Propaganda Tu Apa Bendanya?

Propaganda jauh berbeza dari penyebaran pengetahuan ataupun maklumat. Sebenarnya, propaganda ialah alat untuk mengaut kuasa. Tujuan sebenarnya ialah untuk meyakinkan rakyat bahawa seseorang itu patut diberi kuasa yang diingininya.

Menurut Jospeh Goebbels (orang kanan Hitler semasa pemerintahan Nazi), “…tugas propaganda adalah untuk mengambil idea (yang telah berjaya disebarkan kepada) rakyat dan membolehkannya mengambil alih sebuah negara.” (Dipetik dari ucapannya kepada ahli parti Nazi semasa kem latihan propaganda, 9 January 1928. Kebanyakan dari ucapannya dalam rencana ini dipetik dari ucapan yang sama.)

Contoh unggul propaganda jenis ini boleh dilihat di dalam kerjaya Jospeh Goebbels sendiri. Dalam tahun 1930-an, parti Nazi Jerman berjaya merampas kerajaan pusat kerana kempen propagandanya.Goebbels berjaya menukar imej parti Nazi sebagai sebuah parti perkauman ektremis kepada sebuah parti nasionalis yang memperjuangkan ketuanan kaum majoriti Jerman. Beliau juga berjaya memusnahkan imej musuh politik mereka. Dengan sokongan kuat dari golongan majoriti rakyat, parti Nazi menang besar dalam pilihanraya 1933. Maka mulalah pemerintahan Hitler yang membunuh berjuta-juta rakyat Jerman dan membawa kepada Perang Dunia Ke-2.

Itulah…jangan sokong sembarangan – buruk padahnya nanti! Ingat: celik propaganda.

Apa Kerja Propaganda Ni?

Tujuan propaganda ialah untuk membahagikan masyarakat kepada dua kumpulan – “Kita” dan “Mereka”. Rakyat akan dipengaruh untuk menyertai “Kita” dan menolak “Mereka”. Mereka yang tak mahu memilih pihak pula sekurang-kurangnya mesti menyangka bahawa “Kita” lebih baik dari “Mereka”.

Biasanya berbagai isu lain akan dibangkitkan dengan mendadak juga. Ini untuk mengaburkan mata rakyat supaya mereka tak dapat lihat isu-isu yang sebenar. Propaganda mendadak ini juga direka untuk memaksa rakyat memilih “Kita” tanpa memikir panjang. Jadi kita harus celik propaganda jangan dipaksa membuat pilihan yang bukan-bukan!

Siapa Menjadi Mangsa Propaganda?

Propaganda tidak akan menyerang rakyat jelata kerana sokongan dari kita inilah yang mereka perlukan. Jadi tujuan propaganda adalah untuk memusnahkan sokongan untuk pihak “Mereka” dan agihkan sokongan ke pihak “Kita” sebaliknya.

Dalam menjual cerita propaganda politik, yang biasa dijadikan penyangak ialah (1) pemerintah, (2) pemimpin, (3) dalang (yang tak akan dikenali), (4) pihak minoriti tertentu. Propaganda yang berkesan akan menyakinkan rakyat dan penyokong “Mereka” yang mereka sebenarnya adalah kawan “Kita” dan mereka telah menjadi mangsa penipuan penyangak itu dan sedang diperalatkan oleh “Mereka”. Oleh itu, penyangak- penyangak “Mereka” ini bukan sahaja musuh “Kita” tetapi juga musuh kepada rakyat dan penyokong “Mereka”.

Kerja ini memang menjijikkan kerana sokongan rakyat dimenangi bukan dengan kebolehan dan kebenaran tetapi dengan mempermain-mainkan fikiran kita. Jadi kita mesti celik propaganda supaya kita tidak diperolok-olokkan oleh ahli-ahli politik yang hanya pentingkan diri sendiri sahaja.

Macam Mana Nak Celik Propaganda?

OK. Sekarang kita lihat apa taktik-taktik propaganda yang biasa digunakan.

1. Memberi gelaran. Taktik ini amat cepat dan mudah. Mulut cakap, telinga dengar – senang saja. Contoh-contoh gelaran propaganda yang diberi adalah – DAP anti-Islam”, “PAS diperkudakan Cina”, “Anwar pengkhianat”, “UMNO rasis”, “Cina kiasu” dan sebagainya. Walaupun sesetengah gelaran ini memang kesat dan mengguris hati dan ada juga yang terang-terang bohong belaka, itu tidak penting dalam tujuan propaganda.

Menurut Jospeh Goebbels, “Tiada siapa boleh mengatakan yang propaganda anda terlalu kesat atau bertaraf rendah atau kejam, ataupun ia kurang ikhlas, kerana itu bukan kriterianya. Tujuan propaganda bukan untuk menjadi ikhlas atau halus atau lemah atau rendah diri. Tujuannya ialah untuk berjaya.”

Gelaran yang diberi mesti terlekat di dalam minda pendengar, walau betapa kesatnya. Samada orangramai mempercayainya atau tidak, itu boleh dipengaruhi dengan aktiviti fasa kemudian. Inilah yang disarankan oleh Joseph Goebbels, Tak kira samada mereka suka kami atau benci kami, asalkan mereka kenali kami. Setelah kami mencapai tujuan pertama ini, kita boleh berusaha menukar benci kepada suka, dan suka kepada benci, tetapi jangan sampai mereka tak endah.”

Ini memang taktik kotor kerana berbagai tuduhan dilemparkan untuk memusnahkan musuhtanpa bukti kukuh.

2. Kenyataan Am Berseri-seri. Taktik ini banyak persamaan dengan taktik Memberi Gelaran. Tapi dalam Kenyataan Am Berseri-seri, pihak “Kita” akan dilabelkan dengan positif. Label ini pula tak perlu benar atau jelas. Yang perlu hanya selalu menggunakannya supaya label positif ini dikembarkan dengan pihak “Kita”.

Kalau label itu berdasarkan fakta atau penjelasan tertentu, ia akan ditolak oleh mereka yang tidak bersetuju dengannya. Oleh itu, Kenyataan Am Berseri-seri tak akan dijelaskan supaya pendengar boleh membuat andaian sendiri apa maksudnya. Bila ini berlaku, label ini boleh diterima oleh sebanyak rakyat yang mungkin.

Contoh-contoh Kenyataan Am Berseri-seri adalah “1Malaysia”, “UMNO mempertahankan Raja-raja Melayu”, “Pakatan Rakyat perjuangkan Ketuanan Rakyat”, dan sebagainya.

3. Agihan. Taktik ini akan meminjam prestij, pengaruh atau kemuliaan dari satu pihak dan agihkan kepada pihak “Kita”. Taktik ini sengaja mengabaikan fakta-fakta dan penjelasan. Tujuannya ialah untuk naikkan semangat rakyat dan “meminjam” sokongan untuk tokoh itu untuk kepentingan “Kita” sendiri. Keagamaan juga digunakan, di mana tokoh-tokoh agama atau kerja-kerja keagamaan akan digunakan untuk menaikkan kredibiliti “Kita”.

Taktik “Agihan” boleh digunakan untuk menentang pihak lawan juga. Dengan mengaitkan pihak lawan dengan benda-benda yang negatif, imej “Mereka” bolah dimusnahkan. Contohnya ialah DAP komunis”, “PAS diperkudakan Cina”, “UMNO rasis” dan sebagainya. Contoh-contoh lain penggunaan taktik agihan adalah mengibarkan bendera-bendera, mengadakan himpunan besar-besaran, pengesahan dari agensi-agensi kerajaan, serta sumpah-menyumpah di masjid,

4. Mangsa. Satu lagi taktik propaganda ialah untuk menggunakan “mangsa”.Isu “mangsa” ini akan diapi-apikan sehingga rakyat menuntut keadilan untuknya. “Mereka” akan dicabar untuk mempertikaikan samada “mangsa” itu mempunyai hak menerima keadilan. Taktik “mangsa” ini amat berkesan kerana orangramai akan dibuai emosi dan akan kurang rasional dalam isu-isu sebegini.

Mangsa” ini tidak perlu berbentuk seorang manusia – mangsa ini juga boleh berbentuk institusi, agama, kumpulan, pertubuhan, konsep atau sebagainya. Apa yang penting adalah SIFAT kemangsaannya yang boleh dijadikan modal politik. Contoh-contoh “kemangsaan” di dalam politik negara ialah “Melayu hilang kuasa”, “MACC dikecam ahli politik”, “Pembangkang menjadi sasaran kerajaan” dan sebagainya.

5. Kesaksian.Taktik ini menggunakan orang ternama untuk menyokong “Kita”. Tujuannya ialah untuk mengagihkan kekuatan imej positifnya kepada pihak “Kita”. Kita pernah lihat artis-artis terkemuka dan tokoh-tokoh negara digunakan untuk berkempen dalam pilihanraya, kan? Orang yang berpelajaran tinggi juga digunakan. Mereka ini akan kerap menggunakan kata-kata teknikal atau keagamaan yang sengaja dipilih kerana ia TIDAK akan difahami oleh pendengar. Ini akan mengagumi pendengarnya dan mereka akan lebih percayakan kepakarannya. Contohnya ialah isu Ridhuan Tee mencaci keluarga Teoh Beng Hock baru-baru ini.

Katak pun boleh digunakan. Ahli-ahli politik yang berpaling tadah akan diperagakan dan diberi peluang luas untuk memburuk-burukkan parti lamanya. Ramai sangat katak di Malaysia, tak payahlah namakan semuanya. Kita sendiri pun tahu, kan?

6. Kelab.Tema taktik ini ialah – semua orang berfikiran begitu, awak masih nak pertikaikan ke?” Kebanyakan orang lebih suka memihak majoriti kerana (1) majoritilah yang memegang kuasa politik, dan (2) kebanyakan orang ingin berkompromi dan bukannya melawan arus. Berbagai-bagai aktiviti akan diadakan untuk membuktikan penerimaan idea “Kita” seperti himpunan besar-besaran, siaran temuduga dengan orang ramai, sokongan media dan sebagainya.

Strategi ini juga boleh digunakan dengan sebaliknya – menghina pihak minoriti supaya rakyat akan kekal bersama pihak majoriti.

Sekarang Dah Celik. Lepas Ni Macam Mana?

Kita tak boleh lari dari propaganda politik selagi wujudnya orang yang ingin berkuasa. Jadi, kita mesti bijaklah menilai mesej-mesej yang diterima. Ingat, tujuan propaganda untuk mengaut sokongan dari rakyat dan penyokong “Mereka”, ataupun menyebabkannya menerima “Kita”, membelot “Mereka”, putus asa atau apa-apa saja tindakan yang menguntungkan “Kita”.

Jadi kita mesti celik propaganda. Selalu bertenang dan pandai-pandailah bezakan yang mana propaganda dan yang mana maklumat sebenar. Dengan ini, kita boleh elak diri dari dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu serta mampu membuat pilihan yang tepat.

Comments
2 Responses to “Propaganda – Jangan Jatuh Dalam Perangkapnya!”
Trackbacks
Check out what others are saying...
  1. […] ceritanya. Saya tidak mahu mengulas kesemuanya. Akan tetapi ada lima perkara yang saya lihat adalah propaganda semata-mata – ada dua yang berbentuk fitnah buta-buta, dua cubaan untuk mengaburkan kebenaran, […]

  2. […] lame attempt to paint the MACC as a “victim” (one of the propaganda techniques highlighted in my previous article) to (1) divert attention from the MACC’s controversies and (2) try and salvage some […]



Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: